global

Dulu tukang kayu, sekarang model

Oleh Agensi

RIYADH: Siapa sangka ciapan di Twitter akhirnya mengubah hidup seorang tukang kayu berasal dari Pakistan hingga impiannya untuk bergelar model terlaksana.

Gulf News memetik laporan media tempatan melaporkan Muhammad Waqas, 24, menetap di Arab Saudi sejak empat tahun lalu dan bercita-cita menjadi model tetapi tidak yakin ada harapan untuknya.

"Saya datang ke sini untuk bekerja sebagai tukang kayu dan tidak pernah terlintas akan menjadi seorang model.

"Pada satu hari, saya lihat seorang rakan (Faisal) menyunting gambar dan memberitahunya mengenai cita-cita saya untuk menceburi bidang peragaan di Pakistan tetapi tidak berkesempatan.

"Rakan saya itu terus mengambil gambar saya sebelum memuat naiknya di Twitter dengan harapan ada yang berminat menawarkan saya peluang sebagai model," katanya.

Menerusi ciapan di Twitter, rakan Muhammad Waqas, Tamimi meminta mana-mana agensi yang berminat menawarkan rakannya sebagai model untuk menghubunginya,

"Jenama yang berminat mengambil jejaka kacak ini sebagai model boleh menghubungi saya," ciapnya.

Tangkap layar berkenaan tular di laman sosial dan tidak lama selepas itu, Muhammad 'disunting' menjadi model iklan bagi syarikat pakaian.

Sehingga kini, Muhammad Waqas sudah mengumpul 19,500 pengikut di Twitter.

Berdasarkan semakan, Muhammad Waqas banyak memuat naik gambar terkininya memperagakan koleksi pakaian di platform berkenaan.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 1:45pm
d