global

23 mayat dalam satu kubur

Oleh AFP

Mexico City: Polis Mexico menemui 23 mayat dalam satu kubur besar di Guadalajara, di barat Mexico, Isnin lalu.

Kubur berkenaan ditemui antara dua bangunan kediaman dan terletak hanya tiga blok dari sebuah balai polis.

Pejabat Pendakwaan Negeri Jalisco dalam satu kenyataan berkata, polis turut menemui empat beg mengandungi bahan bukti.

"Identiti tiga mangsa sudah dikenal pasti," katanya.

Susulan kejadian, seorang penyelaras FUNDEJ iaitu pertubuhan mencari orang hilang mempersoalkan mengenai mengapa tiada laporan sedangkan kubur itu terletak di kawasan kediaman.

"Ia terletak antara dua rumah yang mempunyai penghuni. Anda perlu bertanya, mengapa mereka tidak membuat apa-apa laporan," katanya.

Pada 2 Julai, pihak berkuasa menemui kubur besar di kawasan perbandaran Tlaquepaque dengan 86 beg berisi rangka manusia.

Selain itu, kerja penggalian bersambung di sebuah tapak di Tlajomulco selepas penemuan 500 beg berisi rangka dianggarkan milik 48 individu.

Sebelum ini, kerja itu dihentikan kerana pandemik Covid-19.

Penemuan kubur rahsia dan rangka manusia dikatakan berpunca daripada pertikaian antara kartel dadah utama di Jalisco.

Selain itu, ia dikatakan disebabkan oleh pergaduhan antara ahli kumpulan.

Pada Isnin, kerajaan Mexico berkata, ada 73,201 dilaporkan hilang di negara itu.

Sebahagian besarnya tidak dapat dikesan selepas negara itu melancarkan operasi berterusan terhadap kartel pada 2006.

Sejak itu juga, sebanyak 6,625 mayat sudah ditemui di dalam kubur besar di negara itu.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 12:36pm
d