global

23 tentera Nigeria terbunuh diserang 'penyamun'

Oleh AFP

Kano: Sekurang-kurangnya 23 tentera Nigeria terbunuh selepas diserang kumpulan yang digelar 'penyamun' di sebuah kampung terpencil di barat laut negara itu, kata sumber keselamatan pada Ahad.

Kumpulan itu dilapor melepaskan tembakan pada hari Sabtu pada tentera yang sedang berjalan kaki di kawasan hutan di daerah Jibia di negeri Katsina, kata sumber berkenaan dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Mayat 23 askar ditemui manakala beberapa anggota tentera masih hilang," kata sumber tentera.

Untuk rekod, kumpulan 'penyamun" dikatakan terbabit dalam kes rompakan lembu dan penculikan namun mereka baru-baru ini dilapor bergabung dengan kumpulan militan di wilayah berkenaan.

Seorang anggota tentera mengatakan jumlah korban lebih tinggi dari 23 dan ketika ini pencarian anggota tentera yang hilang masih dilakukan.

Jurucakap polis Katsina State berkata Sabtu lalu, lima kanak-kanak dilaporkan terbunuh dan enam yang lain cedera apabila bom meletup secara tidak sengaja di kawasan sama.

"Tidak jelas sama ada bahan letupan itu ditinggalkan oleh penyamun," katanya.

Katsina adalah negeri kelahiran Presiden Nigeria Muhammadu Buhari yang mana sebahagian besar penduduk hidup dalam kemiskinan melampau dan dilaporkan menjadi semakin tidak stabil sejak kebelakangan ini.

Pada Mei lalu, badan bukan kerajaan (NGO) International Crisis Group memberi amaran bahawa kumpulan bersenjata menjalin hubungan dengan kumpulan militan IS di Provinsi Afrika Barat (ISWAP), yang sudah sangat kuat di barat laut Nigeria.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 9:41am
d