global

Anak hakim maut ditembak 'pemandu' FedEx

Oleh AFP

New York: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pemandu syarikat FedEx menembak mati anak lelaki Hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan mencederakan suaminya dalam serangan di rumah mereka di New Jersey, semalam.

Menurut agensi berita ABC, Hakim Esther Salas bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

Anak lelakinya, Daniel Anderl, 20, maut selepas ditembak ketika membuka pintu rumah, lapor ABC dan CNN yang memetik sumber.

"Dia ditembak pada jantung," kata Datuk Bandar North Brunswick, Francis Womack yang juga rakan Salas kepada ABC.

Suami Salas, Mark Anderl yang juga peguam bela jenayah dan bekas pendakwa raya dalam keadaan kritikal namun keadaannya stabil selepas menjalani pembedahan, lapor New Jersey Globe.

Pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Newark menerusi Twitter memaklumkan mereka kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang menimpa Salas dan giat mengesan suspek.

Penembak datang ke rumah mangsa dengan berpakaian seperti pemandu FedEx menurut laporan sumber penguatkuasaan undang-undang manakala motif kejadian masih samar.

"Sebagai seorang hakim, beliau selalu menerima ugutan namun, tidak ada sebarang ancaman dalam masa terdekat ini," kata Womack kepada ABC.

Salas, 51, adalah wanita Hispanik pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di New Jersey dan dicalonkan oleh Presiden Barack Obama pada 2010.

Ketika ini, hakim berkenaan sedang mengendalikan kes tuntutan saman oleh kumpulan pelabur Deutsche Bank yang mendakwa bank berkenaan gagal memantau pelanggannya yang dianggap sebagai berisiko tinggi - termasuk pesalah seks Jeffrey Epstein yang membunuh diri ketika dalam tahanan sebelum sempat dibicarakan.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 7:05pm
d