global

Hanya 1,000 jemaah Haji tahun ini

Oleh AFP

Riyadh: Musim haji tahun ini dengan jemaah dikurangkan secara drastik kepada 1,000 orang akan bermula 29 Julai ini.

Lazimnya, seramai 2.5 juta jemaah melaksanakan ibadat itu setiap tahun.

Daripada 1,000 jemaah kali ini, 70 peratus daripada adalah rakyat asing, manakala bakinya adalah warga tempatan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, jemaah hanya akan membabitkan petugas kesihatan dan anggota pasukan keselamatan yang sudah sembuh daripada virus berkenaan.

Tahun ini, jemaah perlu mengikuti protokol kebersihan yang ketat dan hanya mereka yang berusia 65 tahun ke bawah dan tidak mempunyai penyakit kronik dibenarkan melaksanakan ibadat itu.

Pihak berkuasa juga berkata, jemaah tahun ini akan menjalani ujian pemeriksaan sebelum tiba di Makkah dan perlu menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan haji.

Bulan lalu, Arab Saudi mengumumkan haji tahun ini membabitkan jumlah jemaah yang amat terhad sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Keputusan untuk tidak membenarkan warga asing dari luar Arab Saudi untuk memasuki negara itu bagi ibadat haji adalah kali pertama dalam sejarah moden negara berkenaan.

Negara itu paling terjejas di rantau Teluk apabila sudah merekodkan 253,349 kes jangkitan dan 2,523 kematian.

Ia sudah melonggarkan perintah kawalan pergerakan sejak akhir Mei.

Bagaimanapun, Arab Saudi belum membuka ruang udaranya untuk penerbangan antarabangsa.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 11:09am
d