global

Perkahwinan terkontroversi

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang wanita berusia 75 tahun mencetuskan kontroversi di Rusia selepas berkahwin dengan bekas menantunya.

Portal Life melaporkan wanita bernama Galina Zhukovskaya nekad berumah tangga dengan Vyacheslav Zhukovsk, 52, selepas lelaki itu berpisah dengan anak perempuannya, Elena yang berusia 56 tahun.

Perbezaan usia bukan persoalannya, tetapi yang mengejutkan ramai pihak apabila Vyacheslav pernah menjadi menantu kepada Galina selama tiga tahun.

Difahamkan, Vyacheslav berkenalan dengan Elena selepas wanita itu memberi maklum balas terhadap iklan mencari pasangan di akhbar.

Ketika itu, lelaki terbabit menjalani hukuman di penjara Murmansk atas kesalahan membunuh bekas majikannya.

Pasangan itu berkahwin pada 2007 ketika lelaki itu masih menjalani hukuman penjara.

Namun, mereka berpisah tidak lama selepas Vyacheslav dibebaskan daripada hukuman berkenaan.

Tanpa tempat dituju, lelaki itu menjadi gelandangan sebelum mendapatkan perlindungan daripada ibu mentuanya itu.

Menurut Galina, pada mulanya, dia membantu lelaki berkenaan atas dasar simpati.

Tetapi lama-kelamaan, timbul rasa cinta antara mereka sehingga pasangan itu berkahwin pada 2010.

Konflik tercetus apabila Galina mendakwa Elena cemburu dengan perkahwinannya.

"Anak saya mungkin cemburu kerana saya tidak lagi hidup bersendirian," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 6:15am
d