global

Lima beranak maut dinding runtuh digoncang monyet

Oleh Agensi

NEW DELHI: Lima beranak di Shahjahanpur, Uttar Pradesh, India maut selepas dihempap dinding rumah jirannya yang runtuh selepas kehadiran sekumpulan monyet liar.

Times of India melaporkan mereka yang terdiri daripada ibu dan empat anak itu menemui ajal ketika tidur di halaman rumah.

Difahamkan, mangsa tidur di situ kerana cuaca panas dan kipas di dalam rumah tidak berfungsi.

Ketika kejadian, sekumpulan monyet menggoncang dinding rumah jiran itu.

Haiwan itu berbuat demikian kerana tertarik dengan pokok jambu batu di halaman rumah di kawasan berkenaan.

Akibat goncangan terlampau kuat, dinding rumah jiran runtuh menyebabkan batu menghempap lima beranak itu dan mereka mati di tempat kejadian.

Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu amat tragis dan menawarkan pampasan buat ahli keluarga mangsa.

Selain itu, Majistret Daerah Vikram Singh turut bertemu dua anak wanita itu yang terselamat dan memaklumkan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"lnsiden ini amat tragis. Lima beranak itu meninggal dunia sejurus dihempap dinding berkenaan," katanya selepas meninjau lokasi kejadian.

Menurutnya, Ketua Menteri Uttar Pradesh menawarkan pampasan 400,000 rupee (kira-kira RM22,793) kepada keluarga mangsa.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 6:59am
d