global

'Saya sudah tak takut lagi...'

Oleh AFP

Lahore: Remaja perempuan Afghan yang menembak mati dua tentera Taliban yang membunuh ibu bapanya berkata, dia bersedia untuk melawan sesiapa yang ingin menyerangnya.

Qamar Gul, 15, membunuh dua militan selepas sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerbu rumahnya minggu lalu di sebuah kampung di daerah Taywara di Ghor, wilayah tengah negara itu.

"Saya sudah tidak takut dan bersedia untuk melawan mereka lagi," katanya kepada AFP menerusi temubual telefon.

Menceritakan kembali kejadian malam itu, Gul berkata, dia dan adik lelakinya yang berusia 12 tahun mendengar orang menolak pintu rumah mereka.

"Ibu saya berlari untuk menghalang tetapi sudah berjaya merempuh pintu berkenaan. Mereka kemudian mengheret ibu dan bapa kami ke luar dan menembaknya beberapa kali.

"Saya menjadi amat takut," katanya yang kini tinggal di rumah saudaranya.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia menjadi amat marah sebelum mengambil senjata api dan menembak mati dua tentera berkenaan.

Katanya, adik lelakinya turut membantu apabila salah seorang daripada militan berkenaan dipercayai ketua kumpulan membalas tembakan.

"Adik saya mengambil senjata api berkenaan dan menembaknya. Mereka melarikan diri sebelum kembali tidak lama kemudian," katanya.

Menurutnya, ketika itu, beberapa orang kampung dan tentera pro-kerajaan sudah tiba di rumah mereka.

Militan berkenaan kemudian melarikan diri selepas lama berbalas tembakan.

Dalam pada itu, The New York Times melaporkan insiden berkenaan dipercayai turut membabitkan pertelingkahan keluarga.

Seorang daripada ahli kumpulan berkenaan dikatakan adalah suami kepada Gul.

Akhbar itu mendakwa dia mahu membalas dendam kepada keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberitahu AFP bahawa kumpulan itu mahu membunuh bapa Gul yang juga ketua kampung kerana dia menyokong kerajaan.

Daerah Taywara terletak di pedalaman dan pertempuran antara militan dan tentera kerajaan berlaku hampir setiap hari di kawasan berkenaan.

Gul berkata, bapanya yang mengajar cara menggunakan senjata api berkenaan.

"Saya bangga dapat membunuh mereka yang menembak mati ibu bapa saya.

"Saya bunuh mereka sebab mereka bunuh ibu bapa saya, saya juga tahu mereka mahukan saya dan adik lelaki saya," katanya.

Bagaimanapun, Gul terkilan kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapanya.

Katanya, selepas menembak mati dua tentera Taliban itu, dia pergi ke ibu bapanya sebelum mendapati mereka sudah tidak bernyawa.

"Saya rasa sedih, saya tidak bercakap dengan mereka untuk kali terakhir," katanya.

Berita berkaitan

Balasan tembak ibu bapaku!

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 9:17am
d