global

Hanya kerana 39 sen, hilang nyawa

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang lelaki menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan memilukan selepas terbaring lebih 12 jam di bawah pokok selepas tidak dibenarkan menerima rawatan di hospital kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

Lelaki bernama Sunil Rajak itu dibawa isterinya Aarti ke sebuah hospital kerajaan di Guna, Madhya Pradesh selepas dia dikatakan sakit sejak Rabu lalu.

Namun, sebaik tiba di kaunter pendaftaran hospital, kakitangan bertugas meminta Aarti membuat pembayaran sebanyak 5 Rupee (kira-kira RM0.39 sen) bagi membolehkan suaminya diterima untuk rawatan.

"Saya pergi ke hospital berkenaan dan seseorang kemudian memaklumkan saya perlu bayar bagi mendapatkan slip. Saya berterusan meminta suami diselamatkan kerana masih bernafas namun tiada yang datang membantu.

"Pertolongan dari orang ramai saya terima selepas satu jam suami meninggal dunia," katanya.

Bekas Ketua Menteri Madhya Pradesh, Kamal Nath menerusi Twitter melahirkan rasa kecewa dan marah dengan kejadian yang berlaku terhadap pasangan berkenaan.

"Ini bukan sesuatu yang patut berlaku selepas saya meninggalkan negeri ini (letak jawatan). Anda terlalu sibuk untuk pertandingan memilih wakil rakyat tapi wanita ini bersama anak kecil bertungkus lumus menyelamatkan suaminya.

"Dia tidak menerima rawatan kerana tidak mempunyai duit untuk membeli slip pendaftaran. Dia menghembuskan nafas di depan isterinya dan adakah ini keadaan kerajaan negeri pimpinan Shivraj?," luahnya menerusi Twitter.

Media India melaporkan, kerajaan tempataan memaklumkan tiket rundingan untuk hospital kerajaan adalah percuma dan wanita itu mendakwa dia diminta untuk membayar yuran bagi mendapatkan slip berkenaan.

Kejadian itu mendapat kecaman daripada warganet yang mengutuk tindakan berkenaan sehingga meragut nyawa lelaki yang memerlukan bantuan perubatan segera.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 2:18pm
d