global

Pelan khianat makan diri

Oleh Agensi

WASHINGTON: Tindakan seorang wanita yang cuba membakar kenderaan utiliti sukan (SUV) milik teman lelaki membawa padah apabila wajahnya disambar api.

Pegawai penyiasat mengesahkan kejadian itu berlaku pada Rabu lalu di pinggir bandar Detroit, Michigan.

Fox News melaporkan rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang wanita menjirus bahan bakar pada SUV itu sebelum menyalakan pemetik api.

Menerusi rakaman video dipercayai diambil dari pangsapuri di taman perumahan itu yang menyaksikan seorang wanita disambar api pada mukanya.

Bagaimanapun, dia sempat merangkak untuk menyelamatkan diri sebelum menghampiri semula kenderaan terbabit bagi mengambil peralatan digunakan dalam kejadian.

Media tempatan melaporkan kenderaan itu dipercayai milik teman lelaki wanita berkenaan.

Akibatnya wanita terbabit dipercayai turut mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, tiada laporan yang menyebut mengenai motif kejadian.

Susulan itu, wanita terbabit, Sydney Parham, 26, ditahan atas kesalahan cuba membakar kenderaan milik orang awam.

Pejabat Sheriff Daerah Macomb juga mengesahkan Parham adalah wanita yang dilihat dalam video yang dimuat naik ke YouTube itu.

Jika didapati bersalah, wanita berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:00am
d