global

Covid-19: Hong Kong ketatkan peraturan

Oleh AFP

Hong Kong: Pihak berkuasa Hong Kong mula melaksanakan peraturan pencegahan lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Bermula Rabu, semua penduduk yang menetap di bandar berkepadatan 7.5 juta orang itu mesti memakai pelitup muka apabila mereka meninggalkan rumah masing-masing, manakala restoran hanya menyediakan pesanan bawa pulang.

Tidak dibenarkan lagi lebih dua orang daripada rumah berlainan berkumpul di tempat awam dengan denda dinaikkan sehingga 5,000 dolar Hong Kong (RM2,741) kepada mereka yang melanggar peraturan baharu itu.

Peraturan terbaharu itu dilaksanakan bagi mengurangkan kes Covid-19 yang melonjak di bandar itu.

Lebih 1,000 jangkitan direkodkan sejak awal bulan Julai membabitkan lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dikesan sejak melanda bandar itu pada penghujung Januari lalu.

Kes jangkitan baharu harian mencecah lebih 100 untuk tempoh enam hari.

"Kami berada dalam ambang wabak komuniti berskala besar yang boleh menggugat sistem hospital kami dan mengorbankan nyawa terutama kepada warga emas.

"Dalam usaha melindungi orang kesayangan kami, kakitangan penjagaan kesihatan dan Hong Kong, saya merayu kepada anda untuk mematuhi penjarakan sosial yang ketat serta duduk rumah seberapa kerap mungkin," demikian rayuan Ketua Eksekutif Carrie Lam dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 2:43pm
    d