global

AS catat kematian tertinggi bulan ini

Oleh AFP

WASHINGTON: Angka kematian di Amerika Syarikat (AS) melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh sebulan hari ini dengan hampir 1,600 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, berdasarkan laporan Johns Hopkins University.

Misi pemilihan semula Presiden Donald Trump pada November nanti disekat oleh krisis virus yang membunuh hampir 150,000 rakyat AS dan menimbulkan kekacauan terhadap ekonomi terbesar di dunia.

Sementara itu, China yang pertama kali virus itu dikesan penghujung tahun lalu merekodkan jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

Penduduk di bandar Hong Kong pula menyesuaikan diri dengan peraturan langkah pencegahan Covid-19 yang lebih ketat dilaksanakan pihak berkuasa.

Sehingga kini, pandemik itu meragut 660,000 nyawa serta menjangkiti lebih 16.7 juta orang seluruh dunia berdasarkan data rasmi dikumpul AFP walaupun pakar percaya jumlah jangkitan sebenar mungkin lebih tinggi.

Sementara itu, kajian kedua dari India dalam tempoh kurang seminggu mendedahkan ujian darah dari hampir 7,000 orang menunjukkan lebih daripada separuh mereka yang menetap di kawasan setinggan dijangkiti wabak itu.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:51pm
d