global

Anjing pertama positif Covid-19 mati

Oleh Agensi

Washington: Anjing pertama yang diuji positif Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) mati selepas bergelut dengan gejala sama seperti manusia.

Majalah National Geographic melaporkan Buddy, anjing baka German Sheperd berusia tujuh tahun itu mula sakit pada April lalu, tempoh yang sama pemiliknya, Robert Mahoney sembuh daripada Covid-19.

Buddy mengalami simptom seperti hidung tersumbat, sukar bernafas dan keadaannya bertambah teruk.

Mahoney dan isterinya Allison yang tinggal di New York, akhirnya memutuskan untuk menamatkan riwayat Buddy pada 11 Julai lalu selepas ia mula muntah darah beku, kencing berdarah dan tidak dapat berjalan.

Namun keluarga itu mengatakan mereka mengalami kesukaran untuk mengesahkan bahawa Buddy menghidap virus wabak itu.

"Tanpa ragu-ragu saya rasa Buddy positif Covid-19," katanya yang turut memberitahu bahawa banyak klinik veterinar berhampiran tutup berikutan penularan wabak itu. - AFP

"Kebanyakkan mereka ragu-ragu berhubung binatang peliharaan dijangkiti virus itu dan peralatan yang digunakan adalah untuk manusia.

"Sebuah klinik akhirnya mengesahkan Buddy positif," katanya.

Sementara itu, doktor haiwan Buddy berkata, haiwan itu juga mungkin menderita penyakit limfoma dan ia menjadi lebih teruk akibat Covid-19.

Bagaimanapun tiada pegawai kesihatan atau doktor veterinar mampu memberi maklumat lebih lanjut berhubung perkara itu berikutan kekurangan data.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula berkata, haiwan peliharaan tidak akan menjangkiti virus itu kepada pemiliknya.

Sehingga kini terdapat 12 anjing dan 10 kucing disahkan positif Covid-19 di Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 8:10am
d