global

'Banduan' kucing lolos dari penjara kawalan ketat

Oleh AFP

Colombo: Seekor kucing yang ditahan di penjara utama di Sri Lanka ketika cuba menyeludup masuk dadah dan kad SIM telefon bimbit sudah meloloskan diri.

Seorang pegawai polis berkata, kucing itu dikesan beberapa anggota risikan penjara Sabtu lalu di Penjara Welikada yang dikawal ketat.

Katanya, hampir dua gram heroin, dua kad SIM dan satu cip memori ditemui dalam beg plastik yang digantung pada leher kucing itu.

Akhbar Aruna melaporkan, kucing itu meloloskan diri dari bilik tempat ia dikurung di penjara berkenaan, kelmarin.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penjara enggan mengulas berhubung kecuaian itu.

Berlaku peningkatan kes individu membaling paket kecil dadah, telefon bimbit dan pengecas telefon melepasi tembok penjara sejak beberapa minggu lalu di penjara berkenaan.

Sri Lanka berdepan krisis dadah dengan sebilangan detektif antinarkotik didapati menjual dadah yang dirampas.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 10:10pm
d