global

Trump bagi TikTok enam minggu

Oleh AFP

Washington: Presiden Donald Trump memberi tempoh enam minggu kepada TikTok untuk menjual operasi perniagaannya di Amerika Syarikat (AS) kepada syarikat negara itu.

Beliau berkata, jika tidak, aplikasi video itu tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di negara berkenaan.

Selain itu, beliau mahu urus niaga itu memberikan faedah kepada kerajaan AS.

"Ia perlu (dimiliki) syarikat Amerika... ia perlu dimiliki oleh pemilik di sini (AS)," katanya sambil menambah langkah itu untuk mengelak masalah keselamatan.

Trump berkata, Microsoft kini sedang mengadakan rundingan untuk membeli operasi perniagaan TikTok di AS.

Sehubungan itu, beliau memberikan sehingga pertengahan September ini untuk pemilik TikTok, ByteDance untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan.

"Saya sudah tetapkan sekitar 15 September, jika tidak (TikTok) tidak boleh beroperasi di Amerika Syarikat," katanya.

Sebelum ini, Trump mahu mengharamkan TikTok yang digunakan hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia itu di AS atas isu keselamatan.

Pegawai kerajaan negara itu mendakwa aplikasi yang membolehkan perkongsian video 60 saat itu akan mengumpul data jutaan rakyat AS dan dapat dikongsi dengan perisikan China.

Dalam pada itu, China menyifatkan tindakan AS itu sebagai hipokrit.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Wang Wenbin berkata, AS menggunakan alasan keselamatan negara tanpa mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

"Ia menyalahi prinsip pasaran ekonomi dan menunjukkan hipokrasi dan sikap double standard yang diamalkan oleh AS dalam menegakkan apa yang dikatakan kebebasan dan keadilan," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 8:58am
d