global

Selatan Mexico paling tak selamat bagi wartawan

Oleh Agensi

Mexico City: Selatan Mexico menjadi antara wilayah paling bahaya di dunia bagi wartawan.

Wartawan Mexico, Julio Cesar Zubillaga menggigil apabila anak perempuannya bertanya kenapa ada pihak yang mahu membunuhnya.

Seorang rakan wartawan kepada Zubillaga dibunuh malah beliau yang juga pengarang akhbar La Tarde turut menerima ancaman bunuh dan serangan bersenjata di pejabatnya.

Pengalaman beliau yang berusia 51 tahun itu memberi gambaran bahawa wilayah berkenaan tidak selamat untuk golongan wartawan.

Zubillaga membantu mempersiapkan mayat Pablo Morrugares, seorang wartawan akhbar digital, PM Noticias selepas dia dan seorang anggota polis yang mengawalnya di restoran di Iguala, ditembak.

Beliau merayu kepada umum supaya keadilan ditegakkan kepada wartawan berusia 48 tahun itu yang pernah terselamat dalam satu serangan pada 2016.

"Ia adalah pembunuhan yang kejam. Saya boleh bayangkan apabila melihat muka mendiang Pablo. Saya mempersiapkan mayatnya namun kurang empat rakan yang datang. Semua orang takut dan kami hidup dalam ketakutan," katanya kepada AFP.

Pada hari berikutnya, Zubillaga menerima ancaman menerusi media sosial dan Selasa lalu, lelaki bersenjata menembak pejabatnya secara rambang.

Sekurang-kurangnya 10 wartawan dari Iguala pernah menerima ancaman bunuh dari kumpulan penjenayah, kata Zubillaga, yang merayu kepada kerajaan Andres Manuel Lopez Obrador yang berhaluan kiri untuk memberikan perlindungan.

Sejak tahun 2000, lebih 100 wartawan Mexico dibunuh, dan 92 peratus daripada kes itu masih tidak diselesaikan, kata satu kumpulan wartawan. - AFP

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:30am
d