global

Letupan Lubnan: Dunia salur bantuan RM1.2 bilion

Oleh AFP

Paris: Pemimpin dunia pada Ahad berikrar untuk menyalurkan 250 juta Euro (kira-kira RM1.2 bilion) bagi membantu Lubnan yang terjejas teruk akibat tragedi letupan minggu lalu.

Ia dizahirkan 15 pemimpin negara termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerusi sidang maya.

Sidang disertai wakil hampir 30 negara itu dipengerusikan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Datu satu kenyataan bersama, Macron berkata, bantuan kecemasan yang dapat dihantar segera itu berjumlah 252.7 juta euro (kira-kira RM1.25 bilion)

Daripada jumlah itu, 30 juta euro (RM148 juta) akan disumbangkan oleh Perancis.

Susulan kejadian, Macron menjadi pemimpin asing pertama melawat Lubnan yang juga bekas jajahan Perancis.

Setakat ini, insiden berpunca daripada ammonium nitrat itu menyebabkan lebih 150 orang kehilangan nyawa, mencederakan lebih 6,000 orang dan menyebabkan kira-kira 300,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Menteri Luar Jerman Heiko Maas memberitahu stesen penyiaran ZDF bahawa lebih 200 juta euro (RM989 juta) bagi tujuan bantuan kecemasan itu sudah dikutip termasuk daripada Jerman. - AFP

Kenyataan sama turut menyebut pemimpin dunia dan wakil negara turut menekankan kebimbangan mengenai amalan rasuah dalam kerajaan Lubnan.

"Wakil negara bersetuju bahawa bantuan perlu segera disalurkan, mencukupi dan konsisten dengan keperluan penduduk Lubnan.

"Ia akan dikoordinasi di bawah PBB dan disalurkan untuk penduduk Lubnan dengan kaedah yang telus dan paling berkesan," katanya.

PBB sebelum ini berkata, AS$117 juta (RM491 juta) diperlukan untuk bantuan kecemasan untuk tiga bulan berikutnya.

Ia meliputi perkhidmatan perubatan, tempat perlindungan sementara, makanan serta program perlindungan bagi mencegah penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Presiden Lubnan Michel Aoun yang turut menyertai sidang berkenaan berterima kasih kepada Macron atas inisiatif berkenaan.

"Ada banyak perkara dilakukan sebelum kedatangan musim sejuk, yang akan menyebabkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akan menderita," katanya.

Setakat ini, 21 orang masih dilaporkan hilang dan tentera Lubnan pada Ahad berkata, harapan untuk menemui mangsa terselamat adalah tipis. - AFP

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:15am
d