global

Insiden tembakan di luar Rumah Putih

Oleh Agensi

Washington: Ejen rahsia Amerika Syarikat (AS) berjaya menembak dan mencederakan seorang lelaki bersenjata di kawasan berhampiran Rumah Putih, pada Isnin.

Susulan kejadian, Trump yang ketika itu sedang mengadakan taklimat mengenai Covid-19 di dalam bangunan itu terpaksa menghentikan sesi berkenaan.

Beliau kemudian diiring keluar oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.

"Ada kejadian tembakan dan seseorang telah dibawa ke hospital. Saya tidak tahu keadaannya.

"Nampaknya keadaan dapat dikawal dengan baik," kata Trump seperti dilaporkan Bernama yang memetik laporan Xinhua.

Sementara itu, AFP melaporkan Ketua Jabatan Ejen Rahsia Tom Sullivan berkata, seorang lelaki berusia 51 tahun itu menghampiri seorang pegawai ejen rahsia yang berdiri di Jalan 17th dan Pennsylvania Avenue.

Suspek dilaporkan memberitahu pegawai berkenaan dia mempunyai senjata dan secara agresif berlari ke arah ejen terbabit sambil mengeluarkan senjata dari dalam pakaiannya, kata Sullivan dalam kenyataan menerusi Twitter.

Lelaki berkenaan kemudian membuat aksi seperti mahu menembak, sebelum pegawai berkenaan melepaskan tembakan ke arahnya, kata Sullivan.

Pegawai dan suspek diberikan bantuan kecemasan di lokasi kejadian sebelum di bawa ke hospital.

"Badan yang bertanggungjawab akan melakukan siasatan dalaman terhadap tindakan pegawai berkenaan, " kata Sullivan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 3:38pm
d