global

Bekas Presiden Mexico dituduh terima rasuah

Oleh BERNAMA

Mexico City: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat minyak Mexico, Pemex, berkata pada Selasa bekas Presiden Enrique Pena Nieto menerima rasuah dari syarikat gergasi pembinaan Brazil, Odebrecht serta memberi suapan kepada ahli politik Emilio Lozoya.

Perkara itu didedahkan Lozoya di pejabat peguam negara. Beliau kini ditahan kerana terbabit dengan skandal rasuah.

Dalam mesej video, Peguam Negara Alejandro Gertz Manero berkata, menurut Lozoya, kedua-dua Pena Nieto dan bekas Menteri Kewangan Luis Videgaray turut terbabit dalam skandal itu.

Sebahagian wang itu dikatakan untuk membeli undi kongres bagi mendapatkan kelulusan rang undang-undang pembaharuan tenaga yang pernah mencetuskan kontroversi.

Lozoya baru-baru ini diserahkan kepada Mexico oleh Sepanyol untuk dibicarakan atas tuduhan menerima suapan AS$10.5 juta dari Odebrecht antara tahun 2012 dan 2014.

Sebanyak AS$4.4 juta digunakan untuk membayar perunding politik asing bagi membantu kempen pilihan raya Nieto pada 2012, kata Lozoya.

Lozoya turut menyerahkan resit, rakaman video dan empat saksi untuk menyokong tuduhannya itu, kata Manero, sambil menambah pihak berkuasa merancang meneliti bukti itu.

Lozoya, menerajui Pemex pada 2012-2016 dan ditahan di Sepanyol pada Februari sebelum dihantar pulang ke Mexico awal bulan ini.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 12:26pm
d