global

Korea Selatan larang 'pengiklanan pintu belakang'

Oleh BERNAMA

Seoul: Korea Selatan melarang penggiat media sosial daripada melancarkan produk atau perkhidmatan terbaharu di platform dalam talian yang tidak menjelaskan hubungan perniagaan mereka dengan penaja korporat, kata para pegawai pada Rabu.

Langkah itu berikutan kontroversi mengenai beberapa penggiat media sosial terkenal yang terbabit dengan amalan dikenali sebagai 'iklan pintu belakang', lapor agensi berita Yonhap.

Suruhanjaya Hal Ehwal Perdagangan (FTC), pemantau antimonopoli negara berkata, garis panduan iklan untuk platform dalam talian yang disemak semula akan berkuat kuasa mulai September.

Peraturan baharu itu menghendaki penggiat di platform media sosial, seperti YouTube atau Instagram, untuk menyatakan dengan jelas sama ada produk sokongan mereka 'diberi penghargaan kewangan atau bertujuan untuk promosi'.

Perkataan yang tidak jelas seperti 'terima kasih kepada' atau 'kumpulan pengulas' juga dilarang pada video mereka.

Badan pemantau korporat berkata, ia akan mula menghentikan atau menghukum pihak yang melanggar peraturan itu selepas beberapa tempoh panduan.

Pihak yang melanggar - sama ada penggiat mahupun penaja korporat - akan dikenakan denda sehingga dua peratus daripada jualan dan keuntungan berkaitan atau 500 juta won (AS$422,000).

Beberapa penggiat media sosial menerima kritikan berikutan iklan pintu belakang mereka.

Seorang penggiat media sosial yang popular menerusi kandungan mukbang (makan dan siar) dengan 4.7 juta penonton baru-baru ini meminta maaf kerana terbabit dalam amalan iklan yang tidak adil.

Sebagai tambahan, YouTuber terkenal dengan 2.68 juta penonton telah mengumumkan persaraannya daripada mukbang.

Tahun lalu, pemantau antimonopoli buat pertama kalinya telah menyekat 'iklan pintu belakang syarikat' yang menggunakan penggiat media sosial untuk membuat ulasan.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 1:43pm
d