global

Harry dan Meghan berpindah lagi

Oleh AFP

Los Angeles: Putera Harry dan Meghan Markle sudah berpindah ke rumah baharu yang dibeli di Santa Barbara, bandar berhampiran pantai di luar Los Angeles.

Sebelum ini, mereka dilaporkan tinggal di sebuah rumah agam di Beverly Hills di sini.

Jurucakap pasangan berkenaan dalam kenyataan kepada AFP mengesahkan perpindahan itu berlaku pada Julai lalu.

Mereka 'berpindah ke lokasi baharu Julai tahun ini' dan meminta supaya semua pihak menghormati keperluan privasi, kata kenyataan itu tanpa menyebut lokasi baharu itu.

Berdasarkan majalah People dan Page Six, lokasi kediaman baharu pasangan itu terletak di 100 batu (kira-kira 160 kilometer) dari sini.

Santa Barbara juga menempatkan kediaman selebriti popular seperti Oprah Winfrey dan Ellen DeGeneres.

Kenyataan sama berkata, pasangan itu berharap dapat membesarkan anak lelaki mereka, Archie yang berusia 14 bulan, dalam keadaan normal.

Bulan lalu, mereka memfailkan saman di mahkamah di Los Angeles terhadap paparazzi yang didakwa mengambil gambar anak mereka tanpa kebenaran.

Dakwa mereka, pihak berkenaan mahu menjual gambar berkenaan yang didakwa diambil di pantai Malibu.

Sedangkan menurut mereka, gambar itu diambil secara curi di laman belakang kediaman mereka di sini.

Susulan itu, pasangan berkenaan memfailkan saman terhadap pihak berkenaan atas pelanggaran privasi.

Pada Januari, Harry dan Meghan mengumumkan menarik diri daripada tugas rasmi diraja di United Kingdom dengan memberi alasan mahu berdikari.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 9:23am
d