global

Israel sekat bahan api masuk Gaza

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Israel pada Khamis mengumumkan mereka akan menghentikan bekalan bahan api ke Semenanjung Gaza.

Ia sebagai tindak balas terhadap serangan roket Hamas dan belon api yang dilancarkan penduduk dari Semenanjung Gaza ke negara Yahudi itu, bermula Selasa lalu.

Kementerian Pertahanan Israel membuat pengumuman itu beberapa jam selepas jet pejuang dan kereta kebal Israel menjadi sasaran serangan oleh Hamas.

Pertempuran terbaharu menyaksikan bahan letupan yang diikat pada belon dan layang-layang disasarkan terbang memasuki ruang udara ke Israel.

Sebagai tindak balas serangan itu, Israel menutup laluan komersial utama Gaza, pintu masuk di Kerem Shalom dan menyekat kebenaran zon penangkapan ikan di wilayah itu.

Jabatan Bomba Israel di selatan negara itu merekodkan, 60 kes kebakaran berpunca daripada bahan letupan belon itu pada Selasa dan Rabu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan berkenaan.

Episod persengketaan Hamas dan Israel berlaku dalam tiga perang sejak 2008.

Walaupun gencatan senjata yang dilancarkan tahun lalu turut disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir dan Qatar, namun kedua-dua negara itu melancarkan roket, tembakan mortar atau belon api.

Berdasarkan Bank Dunia, Semenanjung Gaza memiliki populasi dua juta penduduk dengan lebih sebahagian daripadanya hidup dalam kemiskinan.

Penganalisis Palestin berkata, serangan dari Gaza itu disasarkan untuk memberi tekanan kepada Israel supaya memberikan kebenaran untuk pemindahan bantuan kewangan Qatar ke wilayah itu.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 3:43pm
d