global

Perjanjian itu satu pengkhianatan - Palestin

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Palestin tidak mengiktiraf perjanjian damai antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penasihat kanan kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh berkata, ia dianggap sebagai satu pengkhianatan.

"Pemimpin Palestin menolak dan mengecam perjanjian trilateral (tiga pihak) yang dibuat antara UAE, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan secara mengejut itu," katanya seperti yang dilaporkan TRT World.

Beliau yang membacakan kenyataan di luar pejabat Abbas di Ramallah, Tebing Barat berkata, perjanjian itu mengkhianati Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin.

Media semalam melaporkan, Trump dalam satu pengumuman mengejut berkata, Israel dan UAE berjaya mencapai perjanjian damai.

Beliau menerusi Twitter turut menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik dan satu satu pencapaian besar,

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Trump berkata, penyelesaian lebih diplomatik antara Israel dan jiran Islam mereka di rantau dijangka berlaku.

Menurutnya, beliau akan menjadi tuan rumah pada sidang kemuncak untuk menandatangani perjanjian damai yang bersejarah antara Israel dan UAE dalam tempoh tiga minggu lagi.

Perjanjian itu dijangka akan menyaksikan Muslim mempunyai akses lebih baik untuk ke Masjid Al-Aqsa apabila boleh menaiki penerbangan dari Abu Dhabi ke Tel Aviv.

Sebelum ini, Israel menandatangani perjanjian damai dengan Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994.

Bagaimanapun, UAE dan kebanyakan negara Arab lain tidak mengiktiraf Israel atau mempunyai hubungan ekonomi atau diplomatik dengan negara itu.

UAE akan menjadi Negara Teluk pertama yang berbuat demikian.

Dalam pada itu, Israel melancarkan serangan menyasarkan kedudukan tentara Hamas di Semenanjung Gaza beberapa jam selepas pengumuman Trump.

Langkah itu termasuk sekatan bahan api ke Gaza sebagai tindak balas belon api diterbangkan dari wilayah Palestin ke kawasan dikuasai Israel.

Sementara di Washington, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel David Friedman berkata, Israel menangguhkan rancangannya untuk memperluas wilayahnya di Tebing Barat.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 12:47pm
d