global

RM2.5 juta untuk kasut Michael Jordan

Oleh AFP

New York: Sepasang kasut sukan (sneaker) yang pernah dipakai oleh bekas bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Michael Jordan dijual pada harga AS$615,000 (kira-kira RM2.5 juta).

Ia dijual pada satu acara kelolaan rumah lelong terkemuka, Christie's.

Harga itu sekali gus mengatasi rekod sepasang sneaker yang pernah dimiliki seorang lagi legenda dalam sukan sama, beberapa bulan lalu.

Kasut Air Jordan 1 High itu dipakai Jordan ketika perlawanan pertunjukan di Itali pada 1985.

Ketika itu, Jordan merejam bola begitu kuat sehingga memecahkan kaca papan pantul.

"Ini adalah kasut asli dengan serpihan papan pantul pada tali kasut," kata ketua jualan kasut sukan dan beg Christie's, Caitlin Donovan.

Meskipun ia memecah sejarah sebagai kasut sukan termahal pernah dilelong, harga belian itu di bawah jangkaan rumah lelong berkenaan.

Ia dijangka dapat dijual pada harga antara $650,000 (kira-kira RM2.7 juta) dan AS$850,000 (RM3.56 juta).

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 2:15pm
d