global

10,000 petir dalam tempoh 72 jam

Oleh AFP

Los Angeles: Hampir 10,000 petir direkodkan dalam tempoh 72 jam di California sehingga menyebabkan lebih daripada 360 kebakaran.

Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di seluruh negeri pada Selasa dan memaklumkan petir menyebabkan lebih banyak kebakaran disamping angin kencang sehingga berlakunya gelombang panas.

"Kerajaan sudah menghantar seberapa banyak bantuan untuk mengatasi masalah ini bagi memastikan komuniti di California berada dalam keadaan selamat ketika keadaan yang ekstrem ini." katanya seperti dilaporkan Insider.com.

Daripada 367 kebakaran di California, 23 daripadanya adalah serius terdapat beberapa kebakaran lain di dalam wilayah yang sama.

Kebakaran terbesar dan paling cepat bergerak berlaku di utara California pada Selasa dan Rabu lalu sehingga memaksa tindakan kecemasan.

Ia dilakukan kerana sudah memusnahkan bangunan dan mengurangkan kualiti udara di wilayah berkenaan.

Kejadian yang menyebabkan kebakaran serius itu bermula pada pagi Selasa dan mula merebak dengan memusnahkan sekurang-kurangnya kawasan seluas 85,000 ekar (kira-kira 34,000 hektar).

Ia merentasi lima daerah antaranya Alameda, Contra Costa, Santa Clara, San Joaquin dan Stanislaus.

Di kawasan lain seperti Napa dan Sonoma, terdapat enam kebakaran yang direkodkan dengan memusnahkan lebih 46,000 ekar kawasan berdasarkan Jabatan Bomba California.

Kawasan yang terjejas juga lebih besar dari Washington DC dan menyebabkan empat orang cedera selain memusnahkan 50 bangunan dan menjejaskan 1,900 struktur lain.

Sementara itu di San Mateo dan Santa Cruz, kebakaran memaksa lebih 22,000 orang diselamatkan dengan tiga daripada mereka dilaporkan cedera selepas api merebak dari kawasan gunung Santa Cruz.

Berdasarkan sistem kualiti udara, banyak tompokan panas direkodkan di kawasan berkenaan menyebabkan kualiti udara juga dilaporkan merosot.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 4:04pm
d