global

TikTok padam 380,000 video di AS

Oleh AFP

San Francisco: TikTok sudah memadamkan lebih 380,000 video di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini dalam usahanya menyingkirkan elemen kebencian pada media sosial itu.

Selain itu, ia juga sudah mengharamkan 1,300 akaun yang melanggar polisi kerana kandungan yang menunjukkan atau menyemarakkan kebencian.

Ia juga sudah memadamkan 64,000 komen atas alasan sama.

"Angka ini bukanlah menunjukkan kejayaan 100 peratus dalam menghapuskan kandungan berunsur kebencian tetapi ia menunjukkan komitmen kita terhadap usaha itu," kata ketua keselamatan TikTok AS Eric Han menerusi satu hantaran blog.

Hantaran Han itu susulan kenyataan TikTok yang menafikan kaitan aplikasi itu dengan Kerajaan China.

Presiden Donald Trump sebelum ini memberi tempoh enam minggu kepada pemilik TikTok, ByteDance yang berpangkalan di China untuk menjual operasi perniagaannya di AS kepada syarikat negara itu.

Beliau berkata, jika tidak, aplikasi video itu tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di negara berkenaan.

Selain itu, beliau mahu urus niaga itu memberikan faedah kepada kerajaan AS.

Trump sebelum menetapkan tarikh akhir bagi tujuan itu pada sekitar 15 September.

Ketika ini, Microsoft dikatakan sedang mengadakan rundingan untuk membeli operasi perniagaan TikTok di AS.

Dalam pada itu, media sosial itu mendakwa maklumat pengguna di AS disimpan di negara berkenaan dengan simpanan bantuan di Singapura.

Selain TikTok, AS juga mahu mengharamkan aplikasi WeChat yang digunakan secara meluas di China.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 9:00am
d