global

TikTok mahu cabar arahan Trump

Oleh AFP

New York: TikTok mahu mencabar arahan pentadbiran Presiden Donald Trump yang mahu mengharamkan aplikasi itu atas alasan ia mengancam keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Aplikasi video popular itu pada Sabtu berkata, ia akan mengemukakan permohonan di mahkamah bagi tujuan berkenaan dan ia dijangka difailkan minggu depan.

"Walaupun kita tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan, pihak kami sudah menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara baik.

"Tetapi apa yang kita alami adalah pihak pentadbiran tidak menangani perkara itu dengan fakta dan cuba campur campur tangan dalam rundingan perniagaan syarikat swasta," kata Tik Tok dalam satu kenyataan.

Trump sebelum ini memberi tempoh enam minggu kepada pemilik TikTok, ByteDance yang berpangkalan di China untuk menjual operasi perniagaannya di AS kepada syarikat negara itu.

Beliau berkata, jika tidak, aplikasi video itu tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di negara berkenaan.

Selain itu, beliau mahu urus niaga itu memberikan faedah kepada kerajaan AS.

Trump dalam kenyataannya sebelum ini menetapkan tarikh akhir bagi tujuan itu pada sekitar 15 September.

Ketika ini, Microsoft dan Oracle dikatakan sedang mengadakan rundingan untuk membeli operasi perniagaan TikTok di AS.

Aplikasi TikTok dimuat turun 175 juta kali di AS sahaja dan lebih satu bilion di seluruh dunia.

Trump mendakwa TikTok boleh digunakan oleh China untuk mengesan lokasi kakitangan kerajaan persekutuan, mengumpul maklumat peribadi seseorang untuk peras ugut dan melakukan pengintipan korporat.

Bagaimanapun, syarikat itu menafikan semua dakwaan berkenaan dan menegaskan tidak pernah memberikan maklumat pengguna aplikasi itu kepada kerajaan China.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 8:42am
d