global

Lepas tembak hendak bakar

Oleh AFP

Wellington: Lelaki yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand dan menembak mati 51 orang Islam tahun lalu dikatakan mahu membakar bangunan itu selepas melakukan serangan berkenaan.

Perkara itu didedahkan menerusi fakta kes yang dibacakan Pendakwa Raya Barnaby Hawes ketika prosiding jatuh hukum kes berkenaan di mahkamah di Christchurch, pada Isnin.

Malah, tertuduh, Brenton Tarrant, 29, juga dikatakan merancang serangan itu dengan begitu teliti demi untuk memastikan dapat membunuh seramai mungkin individu.

Lelaki warga Australia itu juga mendapatkan maklumat terperinci mengenai waktu solat dan pelan reka bentuk masjid.

Selain itu, dia mengkaji tarikh penting umat Islam bagi mendapat tahu hari di mana masjid akan dipenuhi oleh umat Islam, lapor Bernama yang memetik laporan agensi berita Rusia, Sputnik.

Laporan itu berdasarkan video yang dikongsi oleh akhbar New Zealand Herald.

Dalam pada itu, AFP melaporkan Tarrant tidak menunjukkan sebarang emosi dalam prosiding jatuh hukum kes itu.

Dia dilihat sedemikian ketika Hawes membacakan fakta kes yang memperincikan satu persatu butiran kekejamannya.

Lelaki itu juga dilihat hanya berdiam diri dalam prosiding berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, Tarrant dikatakan membuat pengakuan kepada polis bahawa dia pergi ke kedua-dua masjid berkenaan untuk membunuh seramai mungkin individu di situ.

Malah, lelaki itu melepaskan tembakan terhadap lelaki, wanita dan kanak-kanak dan pada masa sama menyiarkan perbuatan itu secara penstriman langsung di Facebook.

"Apabila dia melihat seorang budak lelaki berusia tiga tahun memegang kaki ayahnya, dia menembak kanak-kanak itu sebanyak dua kali.

"Dia juga menyatakan mahu menembak lebih ramai individu daripada yang pernah dilakukannya dan sedang dalam perjalanan ke masjid lain di Ashburton untuk melakukan serangan lain," kata Hawes seperti dilaporkan AFP.

Masjid ketiga itu terletak kira-kira setengah jam perjalanan di selatan Christchurch.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 6:15am
d