global

Facebook sedia ambil tindakan undang-undang terhadap Thailand

Oleh Agensi

BANGKOK: Facebook bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Thailand selepas pentadbiran negara itu menggesa pengendali laman sosial media berkenaan menghalang akses kepada pengkritik kerajaan.

"Selepas membuat penelitian, Facebook memutuskan bahawa kami terpaksa menyekat akses kandungan yang dianggap kerajaan Thailand sebagai tidak sah," kata jurucakap Facebook dalam kenyataannya kepada CNN Business.

Sekatan berkenaan merujuk kepada keputusan Facebook menyekat kumpulan Royalist Marketplace - sebuah kumpulan dengan 1 juta ahli di media sosial itu yang banyak memaparkan status mengenai keluarga diraja Thailand.

Facebook mendakwa mendapat tekanan daripada kerajaan Thailand untuk menyekat beberapa kenyataan politik di negara itu dengan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil Facebook di Thailand.

Jurucakap media sosial itu mengatakan pihaknya kini turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Thailand.

"Permintaan (sekatan) seperti ini berat, bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan memberi kesan kepada masyarakat untuk mengekspresikan diri," kata jurucakap itu.

"Kami berusaha untuk melindungi dan mempertahankan hak semua pengguna internet dan bersedia mencabar permintaan ini."

Kementerian Digital Ekonomi dan Masyarakat Thailand masih tidak memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu.

Mengikut undang-undang Thailand, memfitnah raja, permaisuri dan waris diraja boleh dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Undang-undang ini semakin banyak digunakan sebagai alat politik kerana rakyat Thailand dan juga pemerintah boleh mengambil tindakan undang-undang atas nama raja.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini, ribuan penduduk di ibu negara itu mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut reformasi terhadap sistem monarki negara itu.

Ia semakin memuncak dengan kumpulan Facebook, Royalist Marketplace yang mula digerakkan oleh Pavin Chachavalpongpun, seorang pembangkang Thailand berpangkalan di Jepun.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 1:26pm
d