global

Angkara Taufan Laura

Oleh Agensi

Washington: Sekurang-kurangnya enam terbunuh termasuk seorang remaja berusia 14 tahun apabila kediaman mereka ditimpa pokok tumbang selepas Taufan Laura membadai Louisiana.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menganggarkan jumlah kematian dijangka meningkat apabila operasi mencari serta menyelamat (SAR) dilakukan.

South China Morning Post melaporkan, Gabenor Louisiana John Bel Edwards berkata, ribut paling kuat dalam sejarah negeri itu bagaimanapun tidak mencetuskan kemusnahan sebesar yang dibimbangkan sebelum ini.

Mangsa, Grenetta DuBrock meninggalkan rumahnya berhampiran pantai Louisiana ketika Taufan Laura semakin kuat di Teluk Mexico.

Dia yang berusia 61 tahun berpindah ke utara ke DeQuincy untuk mengelak ribut terburuk itu.

"Saya tidak tidur dan hanya berdoa sepanjang malam," katanya dalam wawancara di luar bilik disewanya di Red Oak Inn dipetik Bloomberg.

Sementara itu, John Bel berkata, pihaknya bersyukur taufan yang datang tidak mendatangkan kemusnahan besar, seperti yang dijangkakan menerusi ramalan mereka.

"Namun kerosakan dalam jumlah yang signifikan masih berlaku.

"Empat kematian dilaporkan berpunca daripada kediaman yang ditimpa pokok tumbang," katanya.

Taufan Laura melanda perairan Louisiana awal Khamis, sebagai ribut Kategori Empat, iaitu skala angin kedua tertinggi, sebelum kekuatannya berkurangan kepada ribut tropika.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 10:01am
d