global

Sia-sia potong tangan

Oleh Agensi

Ljubljana: Demi mencari kekayaan dengan jalan mudah, seorang wanita di Slovenia tergamak memotong pergelangan tangan kirinya dengan menggunakan mesin pemotong.

Julija Adlesic, 22, berbuat demikian untuk menuntut manfaat hilang upaya akibat cacat kekal daripada syarikat insurans membabitkan nilai 1 juta euro (RM4.9 juta).

Bagaimanapun, perbuatannya itu ternyata sia-sia selepas dia dihukum penjara dua tahun kerana didapati bersalah melakukan penipuan insurans.

Teman lelakinya pula dihukum penjara tiga tahun kerana bersubahat.

Sementara itu, bapa kepada lelaki itu juga dihukum penjara setahun bagi kesalahan sama.

Sky News melaporkan, setahun sebelum kejadian, Adlesic dipercayai mengambil lima polisi insurans dengan beberapa syarikat insurans.

Pergelangan tangannya itu dipotong dengan bantuan teman lelaki dan bapanya.

Selepas memotong pergelangan tangan, wanita berkenaan pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dia mendakwa pergelangan tangannya terpotong ketika memotong dahan kayu menggunakan mesin gergaji.

Kerana mengharapkan ganti rugi yang lebih tinggi, dia sanggup meninggalkan pergelangan tangannya itu tanpa membawanya ke hospital.

Bagaimanapun, pihak hospital kemudian menemui pergelangan tangan itu sebelum ia dijahit semula ke tangannya.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menjalankan siasatan sebelum menahan wanita itu bersama teman lelaki dan beberapa ahli keluarganya.

Ketika perbicaraan, pendakwaan berhujah bahawa teman lelaki Adlesic ada membuat carian di intenet mengenai tangan palsu.

Pihak pendakwaan berkata, tindakan itu menunjukkan perbuatan wanita itu memotong tangan adalah disengajakan.

Bagaimanapun, Adlesic menafikan semua pertuduhan berkenaan.

Dalam pada itu, perbicaraan kes berkenaan mendapat liputan meluas oleh media di Slovenia.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 7:45am
d