global

Misi NASA 2024 perlu RM115 bilion

Oleh AFP

Washington: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) berhasrat untuk menghantar angkasawan ke bulan pada 2024.

Misi menerusi program Artemis itu dijangka menelan belanja AS$28 bilion (kira-kira RM115 bilion), dengan AS$16 bilion (kira-kira RM66 bilion) daripadanya diperuntukkan untuk kapal pendaratan.

Kongres yang berdepan dengan pilihan raya pada 3 November ini perlu meluluskan pembiayaan untuk projek yang menjadi antara keutamaan oleh Presiden Donald Trump.

Ia memandangkan peruntukan itu adalah sebahagian daripada bajet tahunan antara tempoh 2021 hingga 2025.

Dalam temubual telefon dengan pemberita pada Isnin, pentadbir NASA, Jim Bridenstine berkata bahawa 'ancaman politik' masalah terbesar dalam melaksanakan misi berkenaan.

Sebagai contoh, Barack Obama membatalkan pelan untuk misi dikendalikan manusia ke Marikh, selepas pemimpin terdahulu meluluskan peruntukan berbilion AS untuk projek itu.

Jika Kongres meluluskan penyaluran pertama berjumlah AS$3.2 billion menjelang Krismas, Bridenstine optimis bahawa NASA berada dalam landasan tepat untuk melancarkan misi itu pada 2024.

"Untuk penjelasan semua, kami akan ke Kutub Selatan," katanya, merujuk kepada lokasi pendaratan Apollo di khatulistiwa bulan antara 1969 dan 1972," katanya.

Tiga projek kini bersaing dalam membina kapal pendaratan di bulan yang akan membawa dua angkasawan, dengan seorang daripadanya adalah wanita.

Kapal pertama dibangunkan oleh Blue Origin, diasaskan oleh Ketua Pegawai Operasi Amazon, Jeff Bezos, dengan kerjasama Lockheed Martin, Northrop Grumman dan Draper.

Dua lagi dibangunkan oleh SpaceX milik billionaire Elon Musk, dan syarikat Dynetics.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 11:45am
d