global

Suap bayi dengan 'bubur' pensanitasi tangan

Oleh Agensi

Ottawa: Gara-gara bungkusan disangkakan bubur bayi, seorang nenek di Kanada tersilap menyuap cecair pensanitasi tangan ke mulut cucu lelakinya berusia 18 bulan.

Agensi melaporkan selepas bayi dikenali sebagai Logan makan 'bubur' disuap neneknya itu, tubuh bayi itu menjadi merah selain dia mulai batuk-batuk.

Cecair pensanitasi tangan berkenaan dibungkus cantik seperti produk makanan bayi dengan hiasan gambar memaparkan karakter kartun.

Nenek Logan yang curiga dengan tindak balas tubuh cucunya kemudian menyedari tersilap menyuap cecair pensanitasi tangan kepada bayi itu.

Dia segera menghubungi talian kecemasan 999 dan meminta bantuan jiran.

Logan dikatakan sudah 'tertidur' kira-kira lima minit sebelum anggota paramedik tiba sebelum bayi itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, ibu Logan, Nikki Teixeira yang bimbang kejadian sama berulang mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli pensanitasi tangan yang dibungkus mirip bungkusan makanan.

"Tolong jangan beli paket comel pensanitasi tangan ini. Ia mudah disalahertikan sebagai bungkusan makanan. Saya sangat berharap ia tak berada lagi di rak jualan.

"Minggu lalu, anak lelaki saya dikejarkan ke hospital akibat salah faham ini. Mujurlah dia okey, tetapi keadaan boleh menjadi buruk," katanya menerusi Facebook sambil memaparkan gambar bungkusan pensanitasi tangan itu.

ABC News pula melaporkan, Smart Care yang mengusahakan produk itu sudah menarik balik barang itu dari rak jualan.

"Keselamatan adalah keutamaan nombor satu. Kami sudah menggantikan bungkusan itu bagi mengelak salah faham," kata jurucakap syarikat itu.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 6:31am
d