global

Imej Uluru dikeluarkan daripada Street View Google

Oleh AFP

Sydney: Google mengeluarkan imej Uluru daripada Street View miliknya yang membolehkan pengguna menjelajah secara maya di kawasan suci Orang Asli Australia itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak Taman Australia meminta supaya imej sumbangan pengguna Google dibawa turun, selaras permintaan orang Anangu yang secara tradisinya adalah pemilik tapak bersejarah dunia terbabit.

Monolit merah gergasi di Taman Nasional Uluru-Kata Tjuta di tengah Australia ditutup kepada pelancong pada Oktober 2019.

"Kami faham bahawa Taman Nasional Uluru-Kata Tjuta adalah tapak suci bagi orang Anangu. Sebaik sahaja Taman Australia membangkitkan kebimbangan terhadap imej sumbangan pengguna, kami segera mengeluarkannya," kata jurucakap Google.

Syarikat itu menyebut, gambar berkenaan telah diambil oleh pengguna peta Google sebelum penutupan Uluru, yang terdahulunya dikenali sebagai Ayers Rock.

Sebelum ini, ribuan pelancong mendaki ke puncak Uluru, setiap tahun yang bertentangan dengan kehendak Orang Asli Australia. Pendakian di kawasan itu ditutup secara kekal pada 26 Oktober 2019.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 1:58pm
d