global

Pengorbanan O'Sullivan dihargai

Oleh Agensi

New York: Jururawat di Amerika Syarikat (AS) yang terselamat selepas dijangkiti Covid-19, Amy O'Sullivan terpilih antara 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia oleh majalah TIME.

Pemilihannya dalam senarai TIME100 adalah sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam merawat mangsa pandemik itu.

Wartawan terkenal AS, Katie Couric berkata, O'Sullivan antara jutaan petugas kesihatan di seluruh dunia yang terpaksa berkorban ketika pandemik Covid-19.

Menurut Couric, O'Sullivan merawat pesakit pertama dijangkiti virus itu yang dimasukkan ke hospital Wyckoff, Brooklyn di sini.

"Pesakit itu meninggal dunia dan menjadi kematian pertama akibat Covid-19 di bandar itu pada awal Mac lalu.

"Beberapa hari kemudian, Amy menunjukkan simptom sebelum terpaksa menjalani prosedur intubasi dan bergantung kepada ventilator selama empat hari. Ketika itu, tidak ramai yang mengetahui kepentingan mengenai PPE (Peralatan Perlindungan Diri).

"Selepas didiscaj dari hospital, wanita itu berehat di rumah untuk tempoh kurang dua minggu sebelum kembali bertugas," katanya menerusi artikel dalam majalah TIME bagi isu khas berkenaan.

Couric berkata, O'Sullivan yang juga jururawat veteran yang sudah 18 tahun bertugas di wad kecemasan itu mewakili dedikasi petugas perkhidmatan kesihatan yang berada di barisan hadapan.

"Mereka berkorban untuk berkhidmat kepada orang lain. Ramai antara mereka yang terpaksa berpindah ke hotel, bilik berlainan dan ada yang tinggal di garaj untuk melindungi keluarga mereka.

"Daripada doktor sehingga pekerja pembersihan, seluruh ekosistem perkhidmatan kesihatan bertungkus-lumus untuk memastikan sesebuah hospital dapat beroperasi.

"Mata mereka yang keletihan menunjukkan semangat dan kecekapan. Hanya ada dua perkataan untuk menghargai keperwiraan mereka iaitu: Terima kasih," katanya seperti dilaporkan The Irish Times.

Dalam pada itu, majalah TIME akan menerbitkan lapan versi penghias muka depan isu khas itu, dengan setiap satu memaparkan individu berpengaruh dalam pelbagai kategori.

Antaranya, ahli imunologi AS, Dr Anthony Fauci, artis, The Weeknd, atlet, Dwyane Wade, pelakon, Gabrielle Union, Ketua Pegawai Operasi Alphabet, Sundar Pichai.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dan pengasas kepada gerakan Black Lives Matter, Patrisse Cullors, Alicia Garza dan Opal Tometi.

Sebagai tanda penghargaan, majalah itu turut menjemput tokoh daripada pelbagai latar belakang untuk menulis artikel mengenai individu terpilih sebagai individu berpengaruh.

Mereka termasuk Oprah Winfrey, Taylor Swift, Elizabeth Warren, Stevie Wonder, Maya Moore, Leonardo DiCaprio, Cyndi Lauper dan Deepika Padukone.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 6:31am
    d