global

Kematian Yuko Takeuchi mengejutkan Jepun

Oleh AFP

Tokyo: Kerajaan Jepun menyeru rakyatnya meminta pertolongan jika mengalami kesukaran hidup susulan kematian seorang pelakon popular negara itu, semalam.

Kematian bintang 'Miss Sherlock' Yuko Takeuchi, 40, mengejutkan negara itu, malah dianggarkan ramai selebriti di negara itu memilih meragut nyawa sendiri hingga berlaku peningkatan kes bunuh diri baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato tanpa menyatakan secara terperinci kes tertentu berkata, pihaknya maklum sesetengah rakyat sedang berjuang untuk hidup ketika berdepan krisis koronavirus.

"Ada peningkatan jumlah kes bunuh diri sejak Julai.

"Kita harus akui hakikat begitu ramai orang mengakhiri kehidupan mereka yang berharga, "kata Kato, yang juga menteri kesihatan sehingga awal bulan ini.

Dia menggesa orang ramai untuk menggunakan talian khas pencegahan bunuh diri dan perkhidmatan lain.

Takeuchi adalah pelakon utama dalam siri Miss Sherlock 2018 dan turut memainkan peranan kecil dalam filem klasik seram Jepun, 'Ring' pada 1998.

Pada awal September, pelakon terkenal Jepun, Sei Ashina juga membunuh diri dan pelakon Haruma Miura juga dianggap meragut nyawanya Julai lalu.

Bintang rancangan TV Realiti, Hana Kimura, 22, dari rancangan Netflix "Terrace House" juga ditemui mati pada Mei lalu selepas menjadi mangsa buli siber hingga menjadi tajuk utama antarabangsa.

Pada Ogos, Jepun mencatatkan hampir 1,900 kes bunuh diri iaitu peningkatan 15.3 peratus dari tahun sebelumnya.

Semalam, Takeuchi ditemui mati dipercayai akibat membunuh diri.

Sumber rapat memberitahu ahli keluarga menemui wanita itu dalam tidak sedarkan diri di rumahnya di sini, pada awal pagi Ahad.

Bagaimanapun, tiada nota bunuh diri ditemui di tempat kejadian.

Takeuchi kemudian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Sepanjang bergelar pelakon, Takeuchi meraih pelbagai pengiktirafan termasuk pelakon terbaik bagi watak utama pada Anugerah Akademi Jepun, untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2004

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 4:11pm
d