global

Kit ujian pantas Covid-19 untuk negara berpendapatan rendah, sederhana

Oleh BERNAMA

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menyediakan 120 juta kit ujian pantas Covid-19 kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana, lapor agensi berita Xinhua.

Kit ujian itu boleh memberikan keputusan antara 15 hingga 30 minit berbanding beberapa hari atau jam, sebelum ini, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata demikian pada taklimat media bersama pertubuhan dan rakan kongsi termasuk Yayasan Inovatif Diagnosis, Dana Global, Unitaid dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Afrika.

Projek ini memungkinkan pembangunan pengujian, terutamanya di kawasan sukar dilawati atau daerah pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan makmal atau pekerja kesihatan terlatih mencukupi.

Menurut WHO, kit ujian itu berharga AS$5 (RM20.84) seunit, jauh lebih murah berbanding kit ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

WHO berkata, perjanjian antara dua pengeluar dan Yayasan Bill & Melinda Gates, boleh menyumbang sebanyak 120 juta kit ujian yang lebih canggih dan mudah digunakan, dalam tempoh enam bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 10:45am
    d