global

Bunuh jerung untuk hasilkan vaksin Covid-19

Oleh Agensi

California: Setengah juta ikan jerung mungkin dibunuh untuk membuat vaksin Covid-19.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan badan pembela jerung, Shark Allies berpusat di Amerika Syarikat (AS) kerana ia boleh menyebabkan beberapa spesis keluarga jerung yang terancam berdepan kepupusan.

India Today melaporkan, jerung dibunuh untuk mendapatkan minyak semula jadi iaitu 'squalene' yang boleh diekstrak dari hati haiwan itu.

Ketika ini 'squalene' digunakan sebagai bahan tambahan dalam perubatan untuk meningkatkan keberkesanan vaksin dengan mewujudkan tindak balas imun yang lebih kuat.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Shark Allies, Stefanie Brendl berkata, kira-kira 3,000 jerung perlu dikorbankan untuk mengeluarkan satu tan squalene.

"Jadi, setengah juta jerung akan dibunuh untuk memberi imunisasi kepada setiap penduduk dunia yang memerlukan dua dos vaksin Covid-19.

"Satu dos vaksin Covid-19 yang mengandungi squalene memerlukan sekitar 250,000 jerung, bergantung pada jumlah yang digunakan.

"Jumlah itu akan berlipat kali ganda dan boleh mencecah setengah juta jerung jika setiap orang memerlukan dua dos, seperti yang dikatakan oleh penyelidik," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa spesis jerung yang kaya dengan 'squalene' namun diklasifikasikan sebagai sangat terancam kerana populasi kian berkurangan.

"Jika dibunuh, jerung ini mungkin diancam kepupusan," katanya.

Katanya, pembunuhan spesis sedia diketahui terancam ini untuk komponen dalam ubat atau vaksin tidak wajar dilakukan kerana tuaian daripada populasi yang sedikit adalah tidak lestari.

Stefanie berkata, terdapat begitu banyak versi yang tidak diketahui mengenai Covid-19 termasuk berapa lama virus itu akan berlarutan.

Menurut anggaran ahli konservasi, sekitar tiga juta jerung dibunuh setiap tahun untuk squalene, yang juga digunakan dalam kosmetik dan minyak mesin.

Susulan Covid-19, terdapat kebimbangan akan berlaku peningkatan permintaan squalene secara tiba-tiba yang seterusnya mengancam populasi jerung.

Bagi mengelakkan perkara ini, saintis menguji alternatif untuk mendapatkan 'squalene' iaitu versi sintetik yang dihasilkan dari tebu ditapai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 4:07pm
    d