global

Ganti rugi RM3.1 bilion untuk mangsa tembakan

Oleh AFP

Los Angeles: Mahkamah di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan ganti rugi AS$800 juta (kira-kira RM3.1 bilion) untuk mangsa kejadian tembakan rambang terburuk di negara itu yang menyebabkan 58 orang maut dan mencederakan 800 yang lain di Las Vegas.

Pada kejadian Oktober 2017 itu, Stephen Paddock melepaskan tembakan dengan menggunakan raifal dari tingkat 32 Mandalay Bay Resort and Casino terhadap pengunjung sebuah festival muzik country di luar bangunan.

MGM Resorts International, yang juga pemilik kasino diarahkan untuk membayar AS$49 juta (kira-kira RM203 juta) 'daripada duit poketnya', manakala bakinya disalurkan menerusi insurans.

"Kami bersyukur dengan keputusan ini yang melegakan ahli keluarga kepada mangsa dan ahli komuniti yang terjejas.

"Keputusan ini amat bermakna hadir kerana dibuat sehari sebelum ulang tahun ketiga insiden berkenaan," kata MGM menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, MGM menerusi satu kenyataan awal turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermakna bahawa resort itu bertanggungjawab atas insiden berkenaan.

MGM disaman oleh mangsa atas dakwaan cuai kerana mengakibatkan Paddock dapat menyimpan senjata api dan peluru dalam jumlah yang besar di dalam bilik hotel.

Sebanyak 20 senjata api ditemui di bilik hotel yang dihuni oleh Paddock termasuk raifal semi automatik 10 AR-15, dengan sebahagian besar mempunyai kelopak 100 peluru.

Pada 2018, MGM melancarkan tuntutan balas untuk memaksa plaintif untuk menggugurkan tuntutan berkenaan atas alasan pihaknya tidak bertanggungjawab atas insiden itu.

Pada 10 malam hari kejadian, Paddock melepaskan tembakan ke arah lebih 22,000 penonton yang ketika itu menonton persembahan penyanyi country Jason Aldean.

Tembakan itu berlarutan sehingga 10 minit dan menyebabkan orang ramai panik.

Paddock kemudian ditemui mati di dalam bilik hotelnya, dipercayai akibat bunuh diri.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak meninggalkan sebarang nota.

Ahli keluarga dan teman wanitanya tidak dapat memberikan sebarang penjelasan berhubung penemuan bukti yang menunjukkan suspek sudah lama merancang jenayah berkenaan.

Selepas insiden berkenaan, 18 senjata api sudah ditemui di kediaman di Paddock di Mesquite, Nevada dan tujuh lagi di rumahnya di Reno.

Paddock adalah kaki judi tegar dan diketahui mempertaruhkan ribuan dolar serta hilang sejumlah wang yang besar sebelum kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 12:03pm
d