global

Trump kerja dari hospital

Oleh Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang disahkan positif Covid-19 dilaporkan menjalani rawatan di suite serba mewah di Hospital Tentera Walter Reed di Maryland.

Trump sebelum ini diterbangkan ke hospital berkenaan menggunakan helikopter Marine One, Jumaat lalu.

Presiden ke-45 itu juga memilih untuk bekerja dari hospital berbanding menjalani kuarantin di Rumah Putih.

Hospital Tentera Walter Reed menyediakan wad khusus untuk Trump supaya beliau masih dapat menjalankan tugas sepanjang menjalani kuarantin.

News.com.au minggu lalu melaporkan Trump menjalani rawatan di wad mewah di hospital itu yang dikenali sebagai Suite Presiden atau Wad 71.

Ia dilengkapi enam bilik termasuk unit rawatan rapi dan bilik tidur untuk pemulihan. Selain itu, ruang tamu, dapur dan ruang makan yang dihiasi dengan candelier kristal.

Bagi memudahkan presiden menjalankan tugas rasminya, wad itu turut mempunyai bilik persidangan.

Wad khas itu turut dilengkapi sistem keselamatan yang mengguna pakai teknologi terkini bagi menjamin keselamatannya.

Pada Jumaat, Trump dan isterinya Melania disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Kedua-duanya menjalani ujian berkenaan selepas seorang daripada pembantunya, Hope Hicks yang kerap mengiringi presiden, disahkan positif virus berkenaan.

Dalam pada itu, Bernama yang memetik agensi berita Xinhua melaporkan Trump mungkin boleh discaj dari hospital seawal Isnin ini.

"Beliau sudah boleh bangun dan duduk. Kami cadang hari ini (Ahad) untuk beri makan dan minum serta bantu beliau bangun dan bergerak," kata pegawai perubatan presiden, Brian Garibaldi, kepada wartawan, pada Ahad lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 7:45am
    d