global

18 iringi Trump positif Covid-19

Oleh AFP

Washington: Seramai 18 orang yang mengiringi atau pernah berada pada majlis yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sudah disahkan positif Covid-19, setakat ini.

ABC News melaporkan 12 orang daripadanya menghadiri majlis di Rose Garden, Rumah Putih ketika Trump mengumumkan pencalonan Amy Coney Barrett sebagai Hakim Mahkamah Agung.

Media AS melaporkan bahawa Setiausaha Media kepada Trump, Kayleigh McEnany menjadi individu terbaharu yang disahkan positif Covid-19.

Individu lain yang dijangkiti adalah isteri Trump, Melania; pembantu kanan presiden, Hope Hicks; pengurus kempen, Bill Stepien dan dua pembantu kepada McEnany .

Laporan sama mendakwa lebih 12 orang daripada individu yang sering berada dekat dengan Trump, sama ada di luar atau di dalam Rumah Putih, positif virus itu.

AFP dalam satu laporan berkata Trump mungkin dijangkiti ketika menghadiri majlis pengumuman pencalonan Barrett.

Doktor kepada Trump, Sean Conley berkata, selepas majlis berkenaan, Presiden kemudiannya mengadu demam panas, sakit sendi dan mengalami hidung tersumbat

Trump kemudian disahkan positif pada 1 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan kecemasan pada hari berikutnya.

Dalam pada itu, AFP dalam laporan berasingan berkata, Trump meninggalkan hospital tentera pada Isnin selepas empat hari menerima rawatan kecemasan akibat jangkitan Covid-19.

Pergerakan beliau keluar dari hospital itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen apabila berjalan keluar dari bangunan sebelum menaiki limosin.

Presiden kemudian menunjukkan ibu jari sebagai isyarat bagus sebelum menaiki helikopter Marine One yang terletak berhampiran untuk ke Rumah Putih.

Sebaik helikopter mendarat, Trump berjalan menaiki tangga di balkoni Rumah Putih yang dikenali sebagai South Portico, sebelum menanggalkan pelitup mukanya untuk memberikan tabik hormat kepada Marine One.

Menjelang sebulan sebelum Pemilihan Presiden pada 3 November, pungutan suara menunjukkan populariti Trump berada di belakang pencabarnya, Joe Biden.

Kepulangannya ke Rumah Putih dilihat sudah dirancang dengan sebaik mungkin bagi menunjukkan presiden itu dalam keadaan sihat dan berupaya meneruskan kempennya.

Dalam pada itu, pencabar Trump, Biden lebih berhati-hati ketika melaksanakan kempennya dan sudah tiga kali menjalani ujian saringan yang menunjukkan calon itu negatif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 7:15am
    d