global

Tersangkut dalam mesin basuh

Oleh Agensi

London: Gurauan seorang pelajar perempuan dengan rakan serumahnya membawa padah apabila separuh badannya tersangkut di dalam mesin basuh.

Ketika itu, kedua-duanya bermain permainan cabar-mencabar.

Berikutan kejadian itu, sepasukan anggota bomba terpaksa dikejarkan ke rumah itu bagi menyelamatkan mangsa.

Daily Star melaporkan insiden itu berlaku selepas Rosie Cole, 21, menyahut cabaran rakannya untuk masuk ke dalam mesin itu.

Malang buat Rosie apabila separuh badannya tersangkut di dalam mesin berkenaan.

Lebih memalukan apabila bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkannya.

"Malam itu, saya bersama rakan serumah dan salah seorang mereka yang mencabar saya masuk ke dalam mesin berkenaan.

"Meskipun tahu badan saya tidak muat untuk masuk ke dalamnya, saya nekad mencuba dan mulanya ia nampak mudah.

"Rakan serumah hanya mentertawakan saya. Pada mulanya, separuh badan saya dapat memasuki mesin berkenaan.

"Namun, saya jadi panik apabila cubaan untuk keluar tidak berhasil. Malah, saya gagal menggerakkan pinggang dengan keadaan kaki saya yang dalam keadaan bersilang" katanya.

Menurut Rosie, rakan serumahnya cuba membantu mengeluarkannya dari mesin berkenaan tetapi tidak berjaya.

Akhirnya, rakannya terpaksa menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka (pasukan bomba) amat baik dan mentertawakan saya ketika tiba di rumah.

"Malah, mereka sempat bergurau dengan kami selain memberi taklimat keselamatan ringkas jika berlakunya kebakaran.

"Apa yang berlaku memberi pengajaran kepada saya supaya tidak mengulanginya ," katanya yang mengakui tidak pernah mencuci pakaian sendiri dan menggunakan mesin basuh itu. Agensi

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 7:01am
d