global

Dipenjara letak air mani dalam makanan wanita

Oleh Agensi

Santa Ana: Akibat tindakan 'gila' memasukkan air mani ke dalam makanan, air dan barang milik rakan sekerja wanita, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Pendakwa Raya Daerah Orange di California, Amerika Syarikat (AS), Stevens Millancastro, 30, berdepan beberapa pertuduhan.

Millancastro bekerja dengan mangsa antara 2014 hingga 2017 dan dalam tempoh itu, dia beberapa kali meletakkan air mani ke dalam botol air dan botol madu rakan sekerjanya, selain turut diletakkan di atas tetikus dan papan kekunci.

Mangsa kemudian memakan madu itu beberapa kali, tanpa mengetahui perbuatan jenayah Millancastro.

Namun, mangsa bernasib baik apabila menyedari air botolnya bertukar keruh dalam tiga insiden berbeza dan membuang air berkenaan dalam ketiga-tiga kejadian.

Menurut Pejabat Pendakwa Raya, selepas menyedari air botolnya keruh untuk kali ketiga, wanita itu melaporkannya kepada pihak penyelia, yang bertindak memasang kamera keselamatan.

"Pada hari berikutnya, wanita itu menyentuh tetikus yang dipenuhi air mani dan Millancastro dilihat dalam rakaman kamera itu memasuki pejabat mangsa sebelum kejadian berkenaan," katanya sebagaimana dilaporkan portal Mercury News.

Mangsa kemudian membuat laporan kepada polis La Palma yang membuka siasatan dan menahan Millancastro.

Lelaki itu didapati bersalah pada 21 September lalu atas untuk lima kesalahan dan dijatuhkan hukuman semalam.

Hakim Kathleen Roberts turut mewajibkan Millancastro didaftarkan sebagai pesalah seksual.

Pejabat Pendakwa Raya berkata hukuman itu adalah yang paling maksimum berdasarkan undang-undang.

"Keputusan hakim mengenakan hukuman maksimum dan mewajibkan tertuduh didaftarkan sebagai pesalah seksual dibuat berdasarkan trauma dialami wanita tidak bersalah yang hanya melakukan tugas di tempat kerja," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 8:20pm
d