global

Hampir 10 juta penduduk Qingdao selesai disaring

Oleh AFP

Beijing: Hampir 10 juta penduduk di Qingdao sudah menjalani ujian saringan Covid-19 hanya dalam tempoh empat hari.

Timbalan Datuk Bandar, Luan Xin berkata, lebih 9.9 juta sampel sudah diambil dan 7.6 juta keputusan sudah diketahui.

Setakat ini, bandar berkenaan merekodkan 13 kes dan kakitangan kesihatan berada di landasan tepat untuk menyelesaikan ujian ke atas 9.4 juta penduduk dan 1.5 juta lagi pelawat menjelang esok.

Ujian saringan besar-besaran itu dilakukan selepas banyak kes dikaitkan dengan Qingdao Municipal Chest Hospital yang merawat pesakit Covid-19 yang tiba dari luar negara.

Ketua hospital berkenaan, Deng Kai dipecat dan biro kesihatan tempatan mengakui beliau 'disingkir dari pejabat' dan 'di bawah siasatan lanjut', namun tidak memberikan maklumat terperinci.

Daripada 13 kes positif Covid-19 yang dilaporkan, lapan pesakit dirawat di hospital berkenaan dan seorang daripadanya adalah ahli keluarga pesakit.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan maklumat empat lagi pesakit namun mengakui bahawa semua kes ada kaitan rapat dengan hospital itu.

Mereka juga sedang giat mengesan punca wabak yang dikesan di Qingdao.

Pemecatan Deng berlaku sehari selepas ketua biro kesihatan bandar berkenaan, Sui Zhenhua 'disingkir dari jawatannya' dan diletakkan di bawah siasatan.

Wabak yang berlaku di bandar itu memecahkan rekod bersih China selama dua bulan tiada kes jangkitan tempatan.

Berbeza dengan wabak yang dihadapi beberapa bandar utama di China sebelum ini, Qingdao tidak diletakkan di bawah sekatan penuh dengan penduduk dan pelawat bebas ke mana-mana.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 7:26pm
    d