global

Risiko jangkitan dalam pesawat rendah, dengan pelitup muka

Oleh AFP

Washington: Satu kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa penumpang dalam pesawat mempunyai risiko amat rendah, jika memakai pelitup muka.

Kajian itu dilaksanakan oleh Tentera AS dan dibuat di dalam pesawat jarak jauh Boeing iaitu Boeing 767 dan Boeing 777.

Berdasarkan kajian itu, penyelidik menggunakan sensor dan pengesan pendarfluor (fluorescent) di samping menggunakan patung yang mengeluarkan partikal virus Covid-19.

Sensor pula digunakan untuk mewakili penumpang yang berada di depan, belakang dan tepi patung berkenaan.

Sebanyak 300 pusingan ujian dilaksanakan ketika pesawat tidak bergerak dan berada di udara, dalam tempoh lapan hari berturut-turut.

Susulan itu, penyelidik merumuskan bahawa 99.7 peratus partikel Covid-19 dihapuskan dengan sistem pengudaraan yang sofistikated dalam pesawat.

Ia sebelum virus mampu merebak kepada penumpang berada berdekatan dengan individu yang mempunyai virus itu.

Selain itu, 99.99 peratus partikel itu terhapus untuk penumpang yang berada sehingga tempat duduk ke-40 dari individu yang dijangkiti Covid-19 itu.

Sehubungan itu, pegawai tentera AS merumuskan bahawa penularan Covid-19 hampir pasti tidak berlaku dalam pesawat dengan kapasiti penumpang penuh dan tempoh penerbangan lebih 12 jam.

Bagaimanapun, kajian sama turut menyatakan bahawa keputusan itu hanya berdasarkan bahawa seorang daripada penumpang dijangkiti Covid-19.

Selain itu, ia juga mengambil kira bahawa individu terbabit hanya duduk di tempat duduknya dan tidak ke mana-mana.

Selain itu katanya, ia juga jika semua penumpang memakai pelitup muka sepanjang penerbangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 11:27am
    d