global

Penunjuk perasaan di Bangkok tak peduli larangan

Oleh AFP

Bangkok: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di beberapa lokasi sekitar Bangkok dan melanggar perintah larangan perhimpunan untuk hari ketiga berturut-turut.

Pihak polis menggunakan meriam air yang dicampur pewarna biru dan agen kimia bagi mengesan peserta untuk tuntutan undang-undang kelak.

Namun, ia tidak mematahkan semangat peserta gerakan berkenaan yang berterusan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

Satu daripada kumpulan utama dalam tunjuk perasaan itu meminta penyokong kembali ke jalanan hari ini.

"Bersedialah fizikal dan mental untuk demonstrasi ini serta apa saja yang bakal berlaku," kata Free Youth dalam satu hantaran dalam talian.

Sejam sebelum perhimpunan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 4 petang, kumpulan berkenaan mengumumkan tiga lokasi berbeza, berlainan dengan dua lokasi ditutup pihak polis yang dijangka menjadi titik pertemuan kumpulan itu.

Di Lat Phrao, beratus-ratus orang berkumpul di tengah jalan dengan topi keledar dan topeng gas, sambil memberi hormat tiga jari yang diambil dari filem "Hunger Games" sebagai simbol gerakan prodemokrasi.

Di seberang sungai Chao Phraya, hampir 1,000 orang berkumpul di Wongwian Yai sambil melaungkan "Hidup rakyat, tumbanglah pemerintahan diktator!"

Pengendali rangkaian kereta api Skytrain dan kereta api bawah tanah menutup perkhidmatan di seluruh bandar untuk mengelakkan penunjuk perasaan bergabung.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 6:58pm
d