global

Tolong letak jawatan

Oleh Agensi

Bangkok: Penunjuk perasaan di Bangkok memberikan tempoh tiga hari kepada Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha untuk meletak jawatan dan memenuhi permintaan utama mereka termasuk reformasi monarki.

Pada Rabu lalu, ribuan penunjuk perasaan melanggar penghadang polis dan kawat duri menuju ke pejabat rasmi perdana menteri.

Mereka berkumpul berhampiran bangunan yang dikenali sebagai Rumah Kerajaan, sejurus selepas pengumuman mengenai penarikan larangan perhimpunan besar-besaran di bandar berkenaan sekiranya protes dijalankan secara aman.

"Kami sudah menghantar surat untuk mendesak Prayut meletak jawatan, satu daripada tiga permintaan kami.

"Jika kerajaan tidak memberikan jawapan dalam tempoh tiga hari, rakyat akan kembali dengan permintaan lebih tinggi daripada sebelum ini," kata Free Youth dalam hantaran di media sosial seperti dilaporkan Straits Times.

Ketika ini, Prayut bertungkus-lumus mengekang demonstrasi jalanan yang menggunakan cara seperti di Hong Kong.

Setakat ini, kerajaan belum menunjukkan sebarang tanda untuk memenuhi permintaan penunjuk perasaan namun dalam masa sama cuba mencari jalan bagi mengelakkan pertumpahan darah yang boleh mengakibatkan gangguan ekonomi.

Sementara itu, AFP melaporkan Prayut sudah membatalkan keputusan darurat semalam selepas gagal menghalang demonstrasi harian.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 5:59am
d