global

Budak 3 tahun maut tertembak diri sendiri

Oleh AFP

Houston: Budak lelaki tiga tahun maut selepas tertembak diri sendiri dengan pistol yang ditemui ketika sambutan hari lahirnya di Porter, Texas, kira-kira 40 kilometer dari timur laut Houston.

Menurut polis, kanak-kanak itu menyambut hari lahirnya bersama keluarga dan rakan pada Sabtu lalu.

Bunyi tembakan tiba-tiba kedengaran ketika tetamu dewasa sedang bermain kad, sebelum kanak-kanak itu ditemui dengan kesan tembakan di dada.

Dia dikejarkan ke balai bomba berhampiran, namun disahkan maut, menurut Jabatan Sheriff Montgomery.

Pihak berkuasa itu memaklumkan mangsa dipercayai menjumpai pistol yang terjatuh daripada poket pakaian saudaranya.

Dalam pada itu, Kumpulan Keselamatan Senjata Api Everytown berkata, sejak awal tahun lalu, Amerika Syarikat mencatatkan 299 kes tembakan yang tidak disengajakan oleh kanak-kanak dengan 97 orang daripadanya maut.

Sepertiga penduduk negara itu memiliki lesen senjata api dengan Texas antara negeri yang mudah untuk memperoleh lesen itu dari segi perundangan.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 10:43am
d