global

Kebakaran Los Angeles semakin buruk

Oleh AFP

Los Angeles: Kira-kira 60,000 orang meninggalkan kediaman mereka di sini, pada Isnin, berikutan kebakaran yang merebak ke kawasan seluas 3,000 hektar dan menutup jalan raya dengan asap tebal.

Dua anggota bomba cedera ketika operasi memadam kebakaran itu.

Letusan api dikenali Kebakaran Silverado bermula awal pagi di kaki bukit Irvine, kira-kira 60 kilometer dari tenggara Los Angeles dan merebak cepat didorong cuaca kering dan angin kencang.

Penduduk berasal dari Perancis, Frederic Tournadre yang berpindah atas arahan majikannya, menggambarkan situasi di situ sangat teruk.

"Walaupun di dalam kereta, mata, hidung dan tekak saya terasa perit (dengan asap)," katanya.

Kebakaran dilapor semakin serius menjelang tengah hari dengan asap tebal dan debu menutupi kawasan sekeliling serta lebuh raya.

Penghuni 20,000 rumah diarah berpindah dan sekolah kekal ditutup pada Selasa.

Perkhidmatan Cuaca Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kebakaran paling berbahaya tahun ini susulan gabungan cuaca berkelembapan rendah, tumbuhan kering dan angin kencang.

Dilaporkan wilayah itu kekal di bawah zon merah bagi ancaman kebakaran, sepanjang hari ini.

Ketua Pihak Berkuasa Kebakaran Brian Fennesy memberitahu dua anggota bomba yang cedera mengalami lecur tahap dua dan tiga.

"Saya berkesempatan menemui mereka dan keluarga di bilik kecemasan hospital. Kedua-duanya perlu diberi intubasi," katanya.

Menurutnya, seramai 500 anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran, berikutan kelajuan angin yang boleh mencecah 60 batu sejam (mph).

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 12:08pm
d