global

Kim Kardashian diselar sebab tak sensitif

Oleh AFP

Los Angeles: Bintang realiti, Kim Kardashian diselar selepas dia dan sekumpulan rakan dilaporkan menaiki pesawat sewa khas untuk ke sebuah pulau terpencil di Tahiti bagi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40, di tengah penularan Covid-19.

Kim dan 'kenalan rapatnya' menghabiskan minggu lalu dengan menari, berkayak, berenang dengan ikan paus di sebuah pulau persendirian.

Menurut E! dan TMZ, percutian itu disertai oleh adik-beradiknya, Khloe, Kourtney dan Kendall Jenner dan mereka menaiki pesawat Boeing 777 dari Los Angeles ke Tahiti.

Selain itu, suami Kim, Kanye West dilaporkan turut menyertai percutian berkenaan pada tengah minggu lalu.

Kim kemudian memuat naik hantaran di media sosial mengenai percutian mewah berkenaan sebelum diselar oleh warganet yang menganggap ia tidak sensitif dengan perkembangan semasa di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan lebih 226,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19.

Selain itu, California iaitu negeri di mana Kim menetap tidak menggalakkan penduduknya melakukan perjalanan dan menasihatkan mereka supaya berada di rumah bagi mengekang penularan virus itu.

Dalam pada itu, Kim mendakwa tetamu percutian itu sudah diminta untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing, dua minggu sebelum menaiki pesawat berkenaan dan menjalani beberapa saringan kesihatan.

Kim bukanlah satu-satunya selebriti yang dikritik warganet kerana tidak sensitif apabila menunjukkan gaya hidup mewah ketika penularan pandemik Covid-19.

Pada Mac, beberapa bintang Hollywood termasuk pelakon Wonder Woman, Gal Gadot diselar kerana tampil dalam video montaj yang memaparkan mereka menyanyi lagu Imagine dari kediaman mewah mereka.

Tindakan itu dilihat tidak sensitif dengan situasi sukar yang dihadapi oleh penduduk AS, pada masa ini.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 11:34am
d